Wednesday, May 8, 2013

HAK-HAK AHLI ZIMMI

Antaranya hak-hak mereka adalah ;

1.   Mematuhi perjanjian perlindungan, sebagaiman firman Allah s.w.t :

      Maksudnya : Sempurnakanlah perjanjian apabila kamu telah membuat perjanjian

      Surah al-Nahl : 91

2.   Tidak boleh memaksa mereka memeluk agama Islam, sebagaimana firman Allah s.w.t :

      Maksudnya : Tidak ada paksaan dalam agama, kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam)   daripada kesesatan (kufur)

      Surah al-Baqarah : 256

3.   Tidak boleh membinasakan gereja (rumah ibadat) mereka, arak minuman mereka, babi-babi kepunyaan mereka, selama mana mereka tidak menzahirkan kepada umum.

4.   Melindungi dan mempertahankan mereka daripada sesiapa sahaja yang memusuhi mereka dan apa saja yang menimpa mereka.

5.   Berbuat baik dan bersimpati dengan mereka tanpa mengasihi mereka sebagaiman firman Allah s.w.t :

      Maksudnya : Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap golongan yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan  kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan teman rapat golongan yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah!) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itu orang yang zalim.

    Surah al-Mumtahanah : 8-9

    Adapun mengasihi mereka dan menjadikan mereka sebagai pemimpin adalah haram sebagaimana firman  Allah s.w.t :

    Maksudnya : Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka ataupun keluarga mereka.

    Surah al-Mujadalah : 22

    Firman-Nya lagi : Wahai golongan yang beriman! Janganlah kamu menjadikan seteru-Ku dan seteru kamu sebagai pemimpin, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kafir ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu.

    Surah al-Mumtahanah : 1

    Firman-Nya lagi : Wahai golongan yang beriman! Janganlah kamu menjadikan orang Yahudi dan Nasrani sebagai pemimpin, kerana sesetengah mereka menjadi pemimpin kepada sesetengahnya yang lain; dan barang siapa antara kamu yang menjadikan mereka sebagai pemimpin maka sesungguhnya dia adalah daripada golongan itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.

    Surah al-Ma'idah : 51

6.   Diharamkan darah dan harta mereka (maksudnya, tidak boleh membunuh atau mencederakan dan tidak boleh mengambil harta mereka secara tidak sah di sisi syarak).

7.   Diharamkan menzalimi dan membebankan mereka melebihi keupayaan mereka. Terdapat banyak hadis yang menjadi dalil dalam masalah ini, antaranya ialah :

     Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :

     "Ingatlah! Sesiapa yang menzalimi terhadap orang yang diikat perjanjian (zimmi) atau mengurangkan haknya atau membebankannya melebihi keupayaannya atau mengambil sesuatu daripadanya tanpa kerelaan hatinya maka aku adalah penghalangnya pada hari kiamat"

    Sabda Baginda lagi :

    "Sesiapa yang membunuh kafir zimmi dia tidak akan mencium bau syurga. Sesungguhnya bau syurga itu    akan didapati sejauh 40 tahun perjalanan."

    Saidina Umar al-Khattab r.a berwasiat kepada khalifah selepasnya dengan katanya : "Aku wasiatkannya dengan zimmah (perjanjian) Allah dan Rasul-Nya supaya dia hendaklah melaksanakan perjanjian yang telah dibuat kepada mereka (kafir zimmi), dan hendaklah dia memerangi sesiapa yang ingin menyerang mereka dan janganlah dibebankan kecuali setakat yang dia terdaya sahaja."

No comments: