Saturday, November 28, 2009

RENCANA
ARKIB : 28/11/2009


MENCARI KEBENARAN BERAGAMA


Oleh Yusri Mohamad

Dari neraca agama, hidup ini adalah satu ujian besar daripada Tuhan ke atas hamba-hamba-Nya. Ujiannya datang dari berbagai sudut. Salah satu sudutnya adalah tuntutan untuk kita menyesuaikan hidup kita mengikut kehendak agama.

Lebih daripada itu, kita juga dituntut untuk memperjuangkan agama dalam hidup kita. Tetapi turut perlu diinsafi, terutama bagi kita yang hidup diakhir zaman ini, antara ujian terbesar kita dalam kehidupan beragama adalah untuk mencari dan memilih fahaman dan ikutan yang benar dan murni dalam beragama.

Antara Yang Zahir dan Yang Benar


Ada beberapa faktor yang tambah menyukarkan kita dalam membezakan yang benar dan yang tidak dalam beragama. Masyarakat awam misalnya mudah terpengaruh pada sesuatu yang menonjol, aggresif, lantang dan dilihat yakin. Oleh itu, sering berlaku pihak yang zahirnya lebih berani, lantang, fasih dan mendapat liputan meluas itulah yang lebih didengari dan dianggap betul. Selain daripada faktor itu, aliran yang batil atau keliru dalam agama pula sering turut bercampur dengan kebenaran. Jadi perlulah diingat bahawa kebatilan yang bercampur kebenaran itu lebih berbahaya berbanding dengan kebatilan tulen yang tidak bercampur kebenaran. Samalah seperti bahayanya hidangan menarik yang mengandungi racun berbisa.

Di samping itu, dalam konteks masyarakat Malaysia khususnya, saya dapati, ramai juga yang mudah terkeliru dan tidak dapat membebaskan diri daripada kerangka persaingan politik kepartian dalam menilai isu-isu agama. Sedangkan sering juga isu agama yang timbul adalah pertembungan fahaman dan prinsip yang lebih mendasar dan melangkaui batas politik kepartian.

Petua-petua Utama


Mencari yang benar dan salah dalam hal agama bukannya mudah dan merupakan ibu segala pencarian dalam hidup manusia. Tiada yang akan berjaya tanpa usaha yang disertai rahmat dan hidayah Allah SWT. Dalam mencari yang kebenaran dalam agama, sangat bertepatan kita merujuk petua masyhur yang diungkapkan dengan fasih oleh Imam Ibnu Sirin dari kalangan Tabiin dalam pesannya, "Ilmu ini (ilmu-ilmu agama) adalah agama kamu, maka hendaklah seseorang itu benar-benar kenal (memilih) daripada siapa dia mengambil agamanya".

Inilah petua dan prinsip inspirasi al-Quran dan al-Sunnah yang sangat asasi dan menyelamatkan. Menariknya, petua ini kurang ditekankan di kalangan mereka yang cenderung membawa fahaman yang Syaaz dikalangan umat ini. Mungkin kerana petua ini tidak menguntungkan mereka. Sebenarnya, jika petua yang satu ini benar-benar dihayati oleh anggota masyarakat, insya-Allah, mereka akan lebih mudah mengenal yang mana intan dan yang mana kaca.

Cabaran mengenal pasti sumber ikutan dan ambilan ilmu agama yang benar disukarkan lagi dengan munculnya, dari awal sejarah Islam, individu dan aliran sesat yang berwajah agama, siap dengan kelayakan zahiriyah dan retorik yang memukau. Contoh yang sangat jelas adalah episod Saidina Ali RA yang ditakdirkan terpaksa menghadapi fitnah kemunculan kelompok Khawarij. Mereka ini yang gagal betul-betul 'mengenali' Saidina Ali RA telah keluar dari mentaatinya atas niat dan asas keagamaan.


Mungkin mereka pun merasa perlu membawa perubahan dan tajdid terhadap arus perdana Umat ketika itu. Seperti yang masyhur dalam sejarah Islam, kelompok Khawarij ini zahirnya sangat kuat berpegang dengan agama. Sangat kuat ibadahnya dan tinggi semangat agamanya tetapi terpesong daripada fahaman agama yang benar.


Pembunuh Saidina Ali RA, Ibnu Maljam yang muncul daripada kalangan mereka diriwayatkan sedia menghadapi apa sahaja hukuman kecuali dipotong lidahnya kerana mahu lidahnya sentiasa basah dengan zikr. Saidina Ali yang berpengalaman dengan sepak-terajang kelompok sebegini ada berpesan, "Akan ada zamannya, dimana yang batil itulah yang paling zahir dan yang Haq itulah yang paling tersembunyi."


Menginsafi pengajaran sejarah dan pesan Saidina Ali ini, janganlah kita mudah terpukau dengan semboyan-semboyan perubahan dan tajdid (pembaharuan). Tidak semua yang melaungkan tajdid itu mujaddid sebenar. Tidak semua orang berimej agama yang ditangkap, dipenjarakan atau diperangi itu pejuang agama yang hakiki! Janganlah kita mudah terkeliru dengan gelar, sijil dan pangkat. Sangat bahaya jika kita terlalu taksub kepada seseorang kerana satu-dua pandangannya yang kita minati atau kebetulan menghentam pihak yang kita tidak sukai.

Kenalilah dan kajilah betul-betul seseorang tokoh agama sebelum mengikutnya atau mendokongnya habis-habisan. Janganlah terlalu mudah mempertaruhkan agama kita yang menjadi penentu untung-nasib kita di dunia ini dan di akhirat yang kekal abadi.

Tolak Yang Syaaz, Ikutilah Arus Perdana


Selain daripada mengenali latar belakang dan kecenderungan seseorang yang ingin diikuti, satu lagi panduan yang sangat utama dalam memilih kebenaran dalam agama adalah dengan kesetiaan dengan aliran arus perdana dan mengelakkan aliran-aliran yang Syaaz (ganjil, asing dan kontroversi).


Dalam menilai aliran atau tokoh agama sering kali berlaku kekeliruan antara perjuangan yang Syaaz dan memperjuangkan pembaharuan (Tajdid) dalam agama. Islam bukannya anti-perubahan dan Tajdid adalah unsur dinamika yang penting dalam tradisi Islam. Tapi sebagai risalah terakhir yang terpelihara dan dijamin Tuhan Rabbul Jalil, ruang untuk perubahan dan Tajdid dalam Islam adalah jelas dan lebih terbatas berbanding dengan agama dan ideologi lain.

Dalam agama Islam, kita boleh isytiharkan dengan yakin bahawa kita tidak perlukan seorang Martin Luther dengan gerakan reformasi Protestantnya seperti yang berlaku dalam sejarah Kristian. Dalam neraca Islam tuntutan perubahan diluar batas-batasnya bukanlah Tajdid yang hakiki tetapi adalah pandangan dan gerakan yang Syaaz. Yang meruntuh dan bukannya membina. Yang melemahkan bukannya menguatkan. Yang memecah-belahkan dan bukannya menyatukan.

Mengenali dan menolak yang Syaaz adalah prinsip pokok dalam Islam seperti yang dinyatakan nas-nas termasuk ayat 115, Surah al-Nisa' dan hadis yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menghimpunkan Umat ini diatas suatu kesesatan, dan sesungguhnya Tangan Allah itu bersama al-Jamaah, maka ikutlah as-Sawaad al-A'zam (majority ulama) dan sesiapa yang mengasingkan diri maka dia mengasingkan dirinya ke Neraka" (Riwayat Abu Nu'aim, Hakim dan al-Tirmizi seperti disebut oleh al-'Ajluni dalam Kasyful al-Khafa').
Persoalan ini boleh didapati huraiannya dalam perbahasan berkaitan prinsip-prinsip Ijma', Jumhur, Mu'tamad dan as-Sawaad al-A'zam dalam bab-bab ilmu yang berkaitan.

Untuk mengenali dan menilai seseorang adalah tidaklah memadai sekadar membaca kolumnya dan mendengar ucapan-ucapannya tanpa kemampuan menilainya secara kritikal daripada kerangka fahaman agama yang mendalam. Seperti yang kita sebutkan, dalam sejarah Islam, memang sering muncul orang agama bijak berdalih dengan hujah dan dalil agama untuk mendokong fahamannya sehingga menyukarkan orang awam yang tidak kuat latar belakang agamanya serta tidak cukup maklumat untuk menilainya dengan saksama.

Tetapi berpandukan petua-petua utama yang baru kita himbau, kita sepatutnya sudah boleh membuat penilaian yang lebih tepat dalam isu beberapa aliran dan tokoh agama semasa yang timbul dalam masyarakat kita. Antara sikap dan pendirian yang Syaaz yang timbul dalam masyarakat kita ialah tidak boleh menerima perbezaan pandangan dalam isu-isu khilafiyyah. Ini merujuk kepada isu-isu yang mana terdapat perbezaan pandangan di kalangan mazhab dan ulama muktabar dalam dunia Islam. Sikap arus perdana dalam soal-soal sebegini adalah tidak menolak, memperlekehkan atau membid'ahkan amalan-amalan tersebut.


Malangnya, kita dapati ada tokoh-tokoh tertentu yang banyak mempertikaikan (baca menyesatkan) amalan-amalan yang sudah diterima umum dalam masyarakat kita yang ada asasnya di dalam Islam seperti tahlil arwah, bacaan Yaasin di waktu tertentu dan berubat dengan air yang dijampi. Malah ada yang dengan sinis meminta mereka yang percaya dengan air jampi ini untuk terus menjampi sahaja air di empangan agar semua orang boleh jadi baik!

Ada juga percubaan memakaikan imej yang buruk terhadap pendekatan tarekat dalam dunia tasawuf dan keruhanian Islam sedangkan pendekatan tarekat diterima oleh majoriti umat ulama termasuk Ibnu Taymiyyah. Menolak dan mempermasalahkan tasawuf dan tarekat adalah sikap yang bertentangan dengan arus perdana ulama dan umat Islam. Ia juga bererti menolak dan mempertikaikan tokoh-tokoh ulama tanah air yang disepakati jasa dan sumbangan mereka dalam menegakkan agama Islam seperti Tok Kenali, Tuan Tabal, Tokku Paloh, Tok Selehor, Sheikh Abdullah Fahim dan Sheikh Ahmad Mohd. Said dan lain-lain yang kesemuanya mesra dengan dunia tasawuf dan tarekat. Sebenarnya kelompok sesat dan batil dalam tarekat adalah kelompok minoriti tetapi ada yang cuba memberi gambaran yang sebaliknya kepada masyarakat.

Akhir-akhir ini ada juga yang cenderung mempermasalahkan kedudukan mazhab Syafie sebagai mazhab utama dan rasmi di negara kita. Sebenarnya pilihan ini adalah pilihan semulajadi berdasarkan sejarah sampainya dan tersebarnya Islam di Nusantara.

Kita umumnya memahami sistem bermazhab yang menyebabkan kita tidak terlalu taasub mazhab Syafie. Cuma kita mungkin akan curiga jika ada amalan-amalan kita yang berdasarkan mazhab Syafie hendak dipertikaikan dan ditukar tanpa ada asas dan alasan yang kukuh serta dibuat di luar kerangka fatwa rasmi.

Anehnya ada yang membayangkan kita terlalu taasub dengan Mazhab Syafie sehingga ke tahap menganggap Imam-imam lain seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad terkeluar daripada kalangan Ahli Sunnah wal Jama'ah. Adakah ada di kalangan kita yang ada menganggap begitu?


Apa pun nama dan gelarannya, tidaklah terlalu sukar mengenali yang tokoh atau aliran yang Syaaz dalam Islam. Jika pandangan dan kecenderungan seumpama ini diberi kebebasan untuk disebarkan dalam masyarakat kita, pelbagai kesan negatif akan timbul. Selain kekeliruan fahaman agama sehingga ke tahap melanggar hak dan adab terhadap para ulama muktabar silam dan semasa, ia juga boleh menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat awam.


Penulis ialah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia.

Sunday, November 8, 2009

Monday, November 02, 2009

Kewajipan mencintai keluarga Nabi SAW
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
PERARAKAN sempena Maulidur Rasul adalah antara cara memupuk kecintaan terhadap Rasulullah SAW.
RATA-RATANYA masyarakat Islam keliru mengenai apakah pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah terhadap ahli keluarga Nabi SAW. Kekeliruan ini membuatkan ramai di kalangan kita tidak mahu menyentuh permasalahan mengenai hak-hak Ahli Bait barangkali kerana khuatir terlibat dengan fahaman puak Syiah dan Rafidhah.
Sebahagian yang lain menganggap ia bukanlah suatu permasalahan yang penting untuk diambil berat dan diperbahaskan dengan panjang lebar.
Walau apa pun alasannya, perbuatan dan perkataan salafussoleh serta ulama telah bersalahan dengan pendirian mereka. Pendapat salaf juga menjadi bukti dan hujah bahawa mereka tidak pernah meletakkan perbahasan mengasihi Ahli Bait sebagai perkara sampingan dan hal remeh-temeh.
Sebabnya, mereka sedar dengan sebenar-benar kesedaran bahawa mencintai dan memuliakan ahli keluarga Nabi SAW adalah perintah yang wajib dijunjung walau di mana mereka berada.
Secara umumnya perintah memulia dan mencintai ahli keluarga Nabi SAW termaktub di dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Nabi Muhammad): Bahawa aku tidak meminta sebarang upah di atas seruan dakwahku ini melainkan agar kalian mencurahkan rasa kasih sayang terhadap al-Qurba (kaum kerabat Rasulullah SAW). (as-Syuura: 23)
Demikian juga diriwayatkan dalam banyak hadis mengenai tuntutan mencintai dan memuliakan Ahli Bait seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: Aku ingatkan kamu kepada Allah (agar mencintai dan memuliakan) ahli keluargaku. (riwayat Muslim, Tarmizi, al-Nasa'i, Ahmad dan al-Hakim).
Di dalam hadis yang lain pula Baginda SAW bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya aku tinggalkan buat kalian dua bekalan iaitu Kitabullah dan keturunanku Ahli Bait. Sesungguhnya Allah Yang Maha Pelembut dan Maha Mengetahui telah memberitahuku bahawa kedua-duanya tidak akan berselisih sehinggakan kedua-duanya masuk ke syurga, maka lihatlah bagaimana kalian melanjutkan kepimpinanku terhadap dua perkara ini". (Dikeluarkan oleh al-Haytami dalam Majma' al Zawaid)
Daripada dalil-dalil di atas, nyatalah kepada kita bahawa mencintai dan memuliakan Ahli Bait adalah merupakan perintah yang terbit dari pelita al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.
Salafussoleh dan Ahli Bait
Para salafussoleh r.a tidak membiarkan firman Allah SWT dan hadis-hadis yang terlalu banyak menekankan peri pentingnya mencintai dan memuliakan Ahli Bait sebagai kalam yang sia-sia. Mereka telah mempraktikkan semua ini sepanjang kehidupan mereka dan menyemai rasa kasih dan penghormatan terhadap Ahli Bait ke dalam hati anak-anak mereka sejak kecil lagi.
Saidina Abu Bakar al Siddiq r.a pernah berkata: "Demi jiwaku yang berada di dalam kekuasaan-Nya, aku lebih suka menyambungkan silaturrahim dengan kerabat Rasulullah SAW daripada kerabatku. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Saidina Umar ibn al-Khattab r.a pula pernah menyatakan kepada Saidina Abbas r.a dengan katanya: "Demi Allah! Keislaman kamu pada hari kamu memeluk Islam lebih aku sukai daripada pengislaman al-Khattab (iaitu bapanya), kerana keIslaman kamu lebih dikasihi oleh Rasulullah SAW daripada pengislaman al-Khattab". (riwayat Ibnu Saad di dalam al-Tobaqat).
Demikian juga perbuatan Saidina Zaid ibn Thabit r.a yang mencium tangan Ibnu Abbas r.a lalu berkata: "Beginilah kami diperintahkan agar menghormati ahli keluarga Nabi kami".
Seorang cucu Rasulullah SAW yang bernama Abdullah ibn Hasan ibn Hasan berkata: "Aku telah datang menemui Umar ibn Abdul Aziz dengan membawa hajatku. Maka dia berkata kepadaku: Sekiranya kamu mempunyai sebarang hajat, maka utuskanlah seorang utusan kepadaku dan tulislah hajatmu itu kerana aku malu kepada Allah tatkala melihatmu berada di depan pintu rumahku".
Kecintaan Imam Mazhab Terhadap Ahli Bait
Imam-imam mazhab fiqh yang muktabar juga sentiasa meletakkan kedudukan Ahli Bait di tempat yang selayaknya seperti yang telah diperintahkan oleh Allah dan rasul-Nya.
Mereka hidup bergaul dengan zuriat Baginda SAW yang mendiami kota Madinah, Mekah dan bumi Syam dengan pergaulan yang baik, penghormatan dan kasih sayang demi meraih keredaan nenda mereka, Rasulullah SAW.
Imam Abu Hanifah r.a adalah di antara imam-imam Ahli Sunnah yang begitu mengasihi ahli keluarga Nabi SAW. Beliau telah berfatwa agar umat Islam memberikan wala' (kesetiaan), melazimi dan mentaati Saidina Ibrahim ibn Abdullah ibn al-Hasan ibn al-Hasan al-Muthanna ibn Ali r.a. Fatwanya ini menyebabkan beliau dipenjara tetapi diuar-uarkan bahawa beliau dihukum penjara kerana menolak jawatan kadi yang ditawarkan kepadanya.
Imam Malik ibn Anas r.a juga telah memuliakan dan berfatwa agar umat Islam memberi ketaatan kepada Saidina Ibrahim ibn Zaid ibn Ali Zain al-Abidin ibn al-Husain ibn Ali r.a. Lantaran daripada itu, beliau dipenjarakan selama beberapa tahun.
Imam Muhammad ibn Idris al-Syafie pula adalah di kalangan imam yang paling tebal kecintaannya terhadap ahli keluarga Nabi SAW. Beliau menegaskan di dalam serangkap syairnya yang bermaksud: "Sekiranya mencintai ahli keluarga Nabi SAW menjadikan seseorang itu digelar Rafidhah, maka saksikanlah wahai manusia dan jin bahawa aku adalah Rafidhah".
Di dalam sebuah syairnya yang lain beliau menyatakan: "Wahai Ahli Bait Rasulullah! Cinta terhadap kalian adalah satu kewajipan di dalam al-Quran yang diturunkan Allah, Cukuplah bukti betapa tingginya kedudukan kalian, sesiapa yang tidak bersalawat ke atas kalian di dalam solat, maka tidak sempurnalah solatnya".
Diriwayatkan oleh muridnya bernama al-Rabi' bahawa: Ketika kami pergi mengerjakan haji bersama Imam Syafie r.a, kami melihat beliau tidak akan mendaki suatu tempat yang tinggi atau turun ke kawasan lembah, melainkan beliau akan menangis dan mendendangkan syairnya yang bermaksud: "Ahli keluarga Nabi adalah perisaiku dan mereka adalah wasilahku kepada Allah, aku berharap kelak dengan keberkatan mereka, agar diserahkan sahifah (catatan amalan) di tangan kananku".
Mencintai Ahli Bait di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah
Sesungguhnya Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah kelompok umat Islam yang paling benar dan tepat dalam mempersembahkan kasihnya terhadap ahli keluarga Nabi SAW.
Kecintaan mereka pada hakikatnya berbeza dengan pegangan kaum Syiah yang bersifat melampau dalam mengagungkan Ahli Bait. Kecintaan mereka yang berpaksikan kepada al-Quran dan Sunnah ini merumuskan kepada kita kepada beberapa perkara:
lAhli Sunnah mewajibkan pengikutnya mencintai dan memuliakan semua Ahli Bait dan sahabat-sahabat Baginda SAW kerana tanda kasih yang tulus terhadap Nabi SAW ialah dengan mengasihi dan memuliakan Ahli Bait dan para sahabat baginda.
lAhli Sunnah berlepas diri (tiada kena mengena) dengan jalan orang yang melakukan pelampauan ke atas keluarga Nabi SAW seperti mana amalan kaum Rafidhah yang tercela.
lAhli Sunnah memuliakan isteri-isteri Nabi SAW serta mendoakan agar Allah SWT meredai mereka setiap kali disebut nama-nama mereka. Pemilihan mereka sebagai isteri adalah dari perbuatan Nabi SAW yang maksum. Sekiranya kita mencerca mereka seperti amalan kaum Syiah, secara tidak langsung kita mempertikaikan kemaksuman Rasulullah SAW.
lAhli Sunnah menyifatkan Ahli Bait sebagaimana yang disyariatkan dan digariskan oleh al- Quran dan Sunnah, bukan mengasihi mereka untuk menjayakan syiar dan muslihat politik seperti mana amalan kaum Syiah.
lAhli Sunnah tidak mengiktikadkan bahawa Ahli Bait adalah maksum, bahkan mereka juga manusia biasa yang tidak terlepas dari melakukan dosa sebagaimana manusia yang lain.
lAhli Sunnah beriktikad bahawa perkataan dan pendapat yang menyebut tentang kelebihan atau kemuliaan Ahli Bait tidaklah bermaksud melebihkan mereka pada setiap keadaan atau setiap orang. Bahkan dari beberapa sudut yang lain terdapat individu-individu lain yang lebih afdal daripada mereka.
Demikian juga terdapat banyak kitab karangan ulama fiqh, hadis dan tafsir mengenai gesaan mencintai dan memuliakan ahli keluarga Nabi SAW. Di antara mereka ialah al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti r.a.
Beliau telah menulis sebuah risalah bertajuk Ihya' al-Mayyit Bi Fadhail Aalil Bait yang menghimpunkan 60 buah hadis yang membicarakan tentang tuntutan mengasihi, keutamaan dan kelebihan ahli keluarga Nabi SAW.